Kemahiran Mengurus Bilik
Darjah
Definisi
Menurut
Stoner (1978) dalam Esah Sulaiman (2004), pengurusan merupakan suatu proses
yang sistematik melibatkan aktiviti merancang, mengorganisasi, memimpin dan
menyelaras sumber dalam organisasi. Menurut Kementerian Pendidikan (1992),
bilik darjah merupakan suatu persekitaran pembelajaran yang meliputi aspek
pelajar, guru, ruang dan alat pembelajaran. Tuntasnya, kemahiran mengurus bilik
darjah melibatkan seorang guru itu perlu merancang pengetahuan, kemahiran,
peralatan dan bahan bantu mengajar yang akan digunakan semasa proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung.
Selain
itu, kemahiran mengurus bilik darjah juga melibatkan persekitaran dan suasana
bilik darjah tersebut. Pemandangan sekeliling seperti warna dinding, pokok dan
taman, begitu juga melibatkan pendengaran iaitu suasana yang bising, alunan
muzik serta aspek-aspek lain yang boleh mengganggu perhatian pelajar. Disini
guru perlu bijak dalam bertindak untuk mengatasi pelbagai kemungkinan yang akan
berlaku semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Pengurusan
ini juga melibatkan kemahiran membuat keputusan, berkomunikasi, kawalan
pelajar, kemahiran interpersonal dan intrapersonal dan lain-lain kemahiran
melibatkan tingkah laku pelajar semasa di dalam bilik darjah. Menurut Sandford
(1983) pengurusan bilik darjah bukan hanya sekadar mengawal disiplin pelajar
tetapi meliputi penglibatan pelajar dan kerjasama dalam aktiviti bilik darjah.
Namun begitu dalam mewujudkan suasana bilik darjah yang teratur dan suasana
pembelajaran yang optimum adalah sesuatu yang mencabar kepada guru. Justeru
itu, guru memerlukan kemahiran dan strategi dalam mengurus bilik darjah.
Menurut
Dr Shiva Aithal, pembelajaran adalah berkesan jika pelajar aktif dalam aktiviti
pembelajaran kelas. Tujuan utama kemahiran adalah untuk mencapai penyertaan
maksimum murid dalam pembangunan pelajaran. Berikut merupakan komponen
kemahiran yang boleh dilaksanakan oleh guru semasa proses pengajaran dan
pembelajaran:
1.
Memanggil murid dengan nama mereka.
2.
Menyatakan arahan dan peraturan tingkah laku di dalam kelas.
3.
Memberi arahan yang jelas.
4.
Memastikan tugas yang mencukupi untuk setiap pelajar.
5.
Memerhatikan gerak geri pelajar.
6.
Beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti dengan lancar.
7.
Mengakui dan memperkukuh perilaku pelajar.
8.
Memeriksa perilaku yang tidak bersesuaian.
Dalam
suasana pembelajaran bilik darjah, guru tidak semestinya akan berhadapan dengan
pelajar yang baik dan menurut arahan. Sesetengah pelajar sering mengganggu
pelajar lain dengan membuat bising dan tidak mendengar arahan yang diberikan
oleh guru. Oleh itu, guru seharusnya bijak dalam mengawal situasi tersebut
dengan mengambil tidakan yang sewajarnya dan tidak hanya membiarkan pelajar
tersebut mengganggu perhatian pelajar lain.
Oleh
itu dapat disimpulkan bahawa kemahiran mengurus bilik darjah merupakan komponen
kemahiran yang memainkan peranan besar dalam mengurus keseluruhan bilik darjah
bukan sahaja dari aspek fizikal bilik darjah tetapi meliputi penglibatan dan
kawalan terhadap tingkah laku pelajar tersebut.
Tujuan
Tujuan kemahiran mengurus bilik darjah adalah:
1. Mendorong pelajar mengembangkan tanggungjawab individu terhadap tingkah laku
2. Membantu pelajar mengerti tingkah laku yang sesuai dengan tata tertib di dalam bilik darjah.
3. Membantu pelajar dalam memahami bahawa teguran guru adalah satu peringatan dan bukanlah kemarahan.
4. Menimbulkan rasa kesedaran untuk melibatkan diri dalam setiap aktiviti pembelajaran.
5. Menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan harmoni
6. Memantau setiap gerak geri dan aktiviti pelajar semasa perbincangan
7. Memupuk kreativiti dan tanggungjawab pelajar terhadap kebersihan dan keceriaan bilik darjah
Kelebihan
1. Guru dapat memastikan bahawa setiap pelajar memberi perhatian sebelum dan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
2. Guru dapat memantau pergerakan dan aktiviti pelajar semasa proses perbincangan atau tugasan secara kumpulan berlangsung bagi mengelakkan wujudnya pelajar yang tidak aktif.
3. Guru dapat mengawal persekitaran bilik darjah dengan peka terhadap keadaan sekeliling sama ada bilik darjah selesa atau tidak untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
4. Guru dapat menegur pelajar yang mengganggu pelajar lain dengan cara yang bijak dan tidak memberi kesan negatif kepada pelajar tersebut.
5. Pelajar lebih mematuhi disiplin dan peraturan semasa berada di dalam bilik darjah.
6. Guru dapat membentuk kreativiti pelajar dalam menghias dan menjaga kebersihan bilik darjah.
7. Guru dapat menyediakan suasana pembelajaran yang harmoni dan berkesan.
No comments:
Post a Comment